Tiga premis kecantikan ditutup, 17 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu DBKL, Imigresen dan KPDN
KUALA LUMPUR – Tiga premis pusat kecantikan di sekitar Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh di sini, diarahkan tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan warga asing.
Ia susulan Tindakan Khas Premis Siri 10/2025 yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIM WPKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Operasi bersepadu itu turut menyaksikan 17 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk menggajikan warga asing tanpa permit kerja sah, premis beroperasi tanpa lesen perniagaan serta kegagalan memiliki kelulusan lesen iklan papan tanda.
Pemeriksaan dijalankan ke atas 11 premis sepanjang operasi tersebut.
“DBKL akan meneruskan tindakan penguatkuasaan serta operasi bersepadu dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Orang awam juga digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan melalui pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” kata DBKL dalam kenyataan semalam.
Dalam operasi sama, JIM turut menahan 17 warga asing selepas pemeriksaan pasport dan permit dilakukan.
Semua yang ditahan telah dibawa ke depot tahanan untuk tindakan lanjut.
KPDN pula melaksanakan pemeriksaan terhadap 24 premis membabitkan pemantauan tanda harga, penggunaan alat timbang sukat serta paparan notis jualan murah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








