Syahredzan difitnah bukan Muslim jujur, ADUN Sungai Ramal mohon maaf
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd. Shafie Ngah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan selepas menuduh beliau bukan seorang Muslim yang jujur dan taat beragama.
Permohonan maaf itu dibuat hasil persetujuan bersama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 September lalu sekali gus menamatkan kes saman fitnah yang difailkan Syahredzan terhadapnya.
Tuduhan berbaur agama itu sebelum ini dibuat menerusi siaran langsung Facebook pada 25 Oktober 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta antara 8 hingga 12 Julai 2023 ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Dalam pernyataan maaf bertarikh 26 September 2025, Shafie mengakui semua dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan sama sekali tidak mempunyai merit.
“Saya amat kesal membuat kenyataan-kenyataan itu dan menyedari kerosakan reputasi yang dialami Syahredzan. Saya menarik balik sepenuhnya kenyataan berkenaan tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama,” katanya dalam kenyataan itu.
Shafie turut merujuk keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Februari 2024 yang telah mengeluarkan injunksi interim melarangnya daripada membuat sebarang kenyataan fitnah terhadap Syahredzan.
Menurutnya, pengalaman ini menjadi pengajaran besar untuk lebih berhati-hati serta menjaga integriti dalam tindakan dan kenyataan pada masa akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








