Sepanyol hantar kapal perang lindungi flotila bantuan Gaza
NEW YORK – Kerajaan Sepanyol akan menghantar sebuah kapal perang dari Cartagena bagi melindungi flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Gaza, susulan serangan dron ke atas konvoi tersebut di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, langkah itu diambil sebagai tindak balas terhadap insiden serangan ke atas Global Sumud Flotilla yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal awam membawa aktivis dan peguam dari 45 negara, termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.
Flotila berkenaan bertujuan menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat perang dan sekatan laut Israel.
“Kami akan menghantar kapal tentera laut dengan semua sumber yang diperlukan sekiranya perlu untuk membantu flotila dan melaksanakan operasi menyelamat,” katanya dalam sidang media di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam.
Beliau menegaskan, Sepanyol menuntut undang-undang antarabangsa dihormati dan keselamatan rakyatnya dijamin semasa belayar di Laut Mediterranean.
Serangan ke atas flotila berlaku kira-kira 30 batu nautika dari pulau Gavdos, Greece, melibatkan 12 dron yang dipercayai menyerang lima kapal hingga menyebabkan kerosakan pada tiang dan sistem komunikasi.
Walaupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab, negara itu sebelum ini mengkritik misi flotila kerana didakwa menyokong Hamas.
Konflik di Gaza yang bermula sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin serta mengakibatkan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan berpanjangan.
Tambah Sanchez, sokongan terhadap misi kemanusiaan tersebut dan menegaskan Sepanyol akan berdiri teguh bersama negara-negara lain dalam mempertahankan hak asasi dan keselamatan peserta flotila.
Tindakan Sepanyol itu turut disertai Itali yang lebih awal menghantar kapal perang bagi tujuan sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








