Individu mengaku Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT murtad – Mufti Pulau Pinang
GEORGE TOWN – Umat Islam dinasihatkan tidak terpengaruh dengan satu ajaran sesat yang percaya dan mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka yang mengakui dan mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT sudah terkeluar daripada agama Islam atau murtad.
Katanya, individu yang murtad boleh dijatuhi hukuman bunuh menurut syariat Islam.
“Tidak diragui lagi bahawa kepercayaan itu adalah satu lagi ajaran sesat yang perlu dilurus serta dibendung supaya tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Sesiapa yang percaya bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Allah SWT, sesungguhnya dia sudah terkeluar daripada agama Islam dan menjadi murtad yang boleh dijatuhi hukuman bunuh menurut syariat Islam,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata sudah sedia maklum bahawa di dalam ajaran Islam, Nabi Muhammad SAW adalah Rasul yang diutuskan Allah SWT bagi menyampai agamaNya kepada seluruh manusia.
Katanya, ulamak juga sudah ijmak atau sepakat bahawa Baginda adalah sebaik-baik makhluk dan pembawa rahmat untuk seluruh alam.
“Hakikat ini difahami daripada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang sahih disertai dengan huraian oleh ulamak muktabar. Bagaimanapun kelebihan Nabi Muhammad SAW sebagai ‘Sayyidul khalqi’ atau sebaik-baik makhluk ini tidak harus membawa kepada kepercayaan yang melampau sehingga ke tahap pemujaan seperti mempertuhankan Baginda,” katanya lagi.
Sehubungan itu Wan Salim menggesa pihak agama di peringkat persekutuan atau negeri menyiasat segera bagi mengenal pasti individu terbabit dengan video tular itu dan meminta mereka bertaubat.
“Sekiranya berdegil, mereka akan terus berpegang dengan kesesatan itu maka mereka perlu dihadap ke Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.