Berita Semasa

Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden tembakan rambang di New Zealand

CYBERJAYA – Tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tembakan rambang yang berlaku di Quay Street, Auckland di New Zealand, hari ini.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan berkata, laporan awal mengatakan seorang lelaki bersenjatakan senapang patah melepaskan tembakan rambang

Insiden tersebut setakat ini sudah meragut dua nyawa dan mencederakan enam yang lain.

Penembak rambang terbabit turut dilaporkan mati di tempat kejadian.

“Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ingin mengesahkan bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam insiden tembakan rambang yang berlaku di Quay Street, Auckland, New Zealand pada 20 Julai 2023.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden terbabit,” katanya.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington yang beralamat di 10 Washington Avenue Brooklyn PO Box 9422 Wellington.

“Mereka juga boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di talian +64-4-3852439 atau +64-210440188 (untuk kecemasan) ataupun emel di mwwellington@kln.gov.my.

“Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button