Pembelian petrol RON95 bersubsidi syarikat pengangkutan awam, barangan guna Fleet Card
KUALA LUMPUR – Pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh syarikat pengangkutan darat awam dan barangan akan dilaksanakan melalui kaedah penggunaan Fleet Card di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SKPS dibangunkan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan secara terperinci oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada penghujung September ini.
“Penggunaan Fleet Card akan meningkatkan kecekapan kawal selia pemberian subsidi dan mengurangkan risiko ketirisan serta penyeludupan bahan api, berasaskan keberkesanan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang telah dilaksanakan pada 2024,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Permohonan untuk menikmati manfaat subsidi bagi sektor pengangkutan awam dan barangan boleh dibuat mulai 15 September 2025 pada pukul 10 pagi melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Menurut Armizan, syarat kelayakan permohonan termasuklah syarikat perlu berdaftar di Malaysia, kenderaan milik syarikat dengan cukai jalan sah dan hanya kenderaan yang tersenarai dalam kategori layak di bawah SKPS boleh memohon.
Selain Fleet Card, syarikat minyak juga dibenarkan membangunkan kad digital melalui aplikasi masing-masing.
“Syarikat pengangkutan yang berjaya mendaftar dalam SKPS perlu segera memohon Fleet Card daripada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan dokumen Surat Kelulusan dan Senarai Kenderaan yang dicetak melalui SKPS.
“Untuk tujuan ini, syarikat dibenarkan memilih maksimum tiga syarikat minyak iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex, BHP dan Five,” katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai SKPS boleh diajukan ke Pusat Panggilan Sistem MySubsidi KPDN di talian 03-8882 5893 / 5894 / 5923 / 6667 (Isnin – Jumaat: 8.00 pagi – 5.00 petang).
“Kami menasihati syarikat yang layak supaya segera membuat permohonan SKPS dan Fleet Card agar subsidi dapat digunakan serta-merta apabila penyasaran subsidi petrol RON95 bermula kelak,” jelas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








