BERITA SEMASA

PDRM lancar sistem komunikasi teknologi satelit X-band

KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi komunikasi satelit X-Band mampu melonjakkan keberkesanan operasi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, Projek Pembangunan Satelit X-Band itu dimulakan sejak 1 Januari 2022 dan siap sepenuhnya pada 31 Disember tahun lalu.

“Inisiatif taktikal ini bagi mengekalkan fungsi komunikasi dalam situasi bencana, kawasan pedalaman, sempadan atau ketika rangkaian awam tergendala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara September 2025 anjuran JLog di Dataran Kompleks 3 Bukit Aman, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah JLog Bukit Aman, Komisioner Polis Gilbert Philip Layang.

Beliau berkata, satelit yang dipasang dalam sebuah bas khas itu dilengkapi dengan sistem kawalan dan mempunyai keupayaan capaian data serta komunikasi masa nyata.

“Ia sekali gus membolehkan penyelarasan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan efisien sebagai ‘force multiplier’ kepada PDRM bagi meningkatkan keberkesanan tugas di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa warga PDRM bagi meneguhkan semangat menjelang sambutan Hari Malaysia dengan berpandukan lima prinsip Rukun Negara.

“Di kesempatan ini, sempena Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi, saya menyeru seluruh warga Sang Saka Biru untuk meningkatkan taat setia kepada negara dan pasukan.

“Penghayatan kepada lima prinsip Rukun Negara hendaklah dijadikan pegangan ke arah mengekalkan keamanan dan keharmonian negara, berteraskan citra Malaysia yang unik,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 20 pegawai kanan, pegawai rendah polis dan pegawai awam yang menunjukkan mutu perkhidmatan cemerlang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button