BERITA SEMASA

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilantik Prof Adjung UiTM

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz kini menyandang jawatan Profesor Adjung di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah.

Pelantikan yang bermula 15 Ogos lalu hingga 15 Ogos 2027 itu dilihat sebagai langkah strategik UiTM dalam memperkukuh hubungan dengan agensi kerajaan utama, khususnya dalam bidang pentadbiran awam, dasar serta kepimpinan.

Surat rasmi pelantikan disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, dalam satu kunjungan hormat ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Putrajaya, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pendaftar UiTM, Rektor UiTM Cawangan Kedah, Dekan FSPPP, Penolong Naib Canselor (Pejabat Komunikasi Strategik) dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Kedah.

Shahrin berkata, pelantikan berkenaan akan membuka lebih banyak ruang kolaborasi antara UiTM dan JPA, termasuk dalam bidang penyelidikan, penganjuran konvensyen perkhidmatan awam serta perkongsian ilmu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada mahasiswa, malah juga warga perkhidmatan awam negara.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan dan amanah besar.

“Ini adalah peluang untuk saya menyumbang kepakaran strategik demi memperkukuh jalinan antara institusi pendidikan tinggi dan sektor perkhidmatan awam.

“Harapan saya, usaha ini dapat melonjakkan lagi Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button