Tadbir urus baik aset strategik negara, bukan beban birokrasi – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa urusan tadbir urus yang baik tidak seharusnya menjadi beban birokrasi, sebaliknya aset strategik negara yang menjadi penentu keyakinan rakyat, daya tarikan pelabur dan tonggak integriti institusi.
Beliau berkata demikian sambil menekankan peranan penting juru audit dalaman khususnya dalam memelihara integriti institusi serta keyakinan rakyat.
Katanya, keutamaan terhadap integriti dalam pentadbiran negara mahupun sektor swasta adalah kunci untuk membanteras ketirisan, rasuah, keterlanjuran serta penyelewengan.
“Jika kita benar-benar serius menyelesaikan permasalahan besar ini, keperluan audit dalaman tidak perlu dipersoal.
“Justeru, kerajaan memberi ruang supaya jentera pentadbiran dipantau lebih dekat melalui kerjasama Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta syarikat swasta,” katanya.
Beliau berucap ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Asian Confederation of Institutes of Internal Auditors (ACIIA) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta daripada 26 negara.

Anwar berkata, tadbir urus yang berkesan umpama ‘sauh’ yang menjamin kredibiliti pasaran dan menjadi ‘magnet’ yang menarik pelaburan manakala juru audit pula memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran ekonomi, teknologi dan geopolitik.
Beliau turut menekankan prinsip semak dan imbang dengan mengaitkannya kepada usaha reformasi Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran MADANI yang berteraskan pemulihan keyakinan rakyat terhadap institusi.
Anwar turut menyorot beberapa inisiatif utama, termasuk pindaan pertama Akta Audit dalam tempoh lebih tiga dekad yang memperluas bidang kuasa Jabatan Audit Negara.
Penubuhan Serious Irregularities Committee sejak 2024 juga sudah berjaya memulihkan serta melindungi dana awam berjumlah RM159 juta.
Selain itu, empat garis panduan baharu yang diperkenalkan pada awal 2025 bagi memperluas bidang kuasa audit kepada mana-mana organisasi yang menerima dana awam, langkah penting untuk memperkukuh akauntabiliti fiskal dan membendung rasuah.
“Mungkin reformasi ini tidak glamor, tetapi ia amat penting demi integriti sistem kita,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan terhadap tadbir urus baik sebagai tonggak Rancangan Malaysia Ke-13 hingga 2030, di samping memuji pelancaran SORMIC Guide 2025 oleh Institut Juruaudit Dalaman Malaysia bersama Bursa Malaysia sebagai langkah meningkatkan budaya pengurusan risiko serta keyakinan pelabur.
“Tanggungjawab di depan kita amat besar, tetapi peluangnya lebih besar untuk membina institusi yang dipercayai dalam negara, dihormati di luar dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya menutup ucapan dengan nada optimis.
Persidangan ACIIA 2025 yang merupakan penganjuran terbesar di Asia berlangsung ketika Malaysia memegang kerusi Pengerusi ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








