BERITA SEMASALUAR NEGARA

19 maut dalam protes larangan media sosial di Nepal

KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam siri bantahan ganas menentang pengharaman media sosial serta dakwaan rasuah kerajaan Nepal, hari ini.

Menurut pihak berkuasa dan media tempatan, keadaan menjadi tegang apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan peluru hidup ke arah kumpulan penunjuk perasaan selain menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah.

Seorang pegawai tempatan berkata, sebahagian penunjuk perasaan bertindak merempuh masuk ke dalam kawasan kompleks Parlimen di ibu negara, Kathmandu selepas berjaya memecahkan penghadang keselamatan.

Seorang penunjuk perasaan dipetik agensi berita ANI mendakwa polis melepaskan tembakan secara “sewenang-wenangnya”.

“Mereka melepaskan peluru yang hampir mengenai saya namun mengenai rakan saya yang berada di belakang. Dia terkena di bahagian tangan,” katanya.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Trauma Nasional, Dr. Badri Risal mengesahkan tujuh mangsa meninggal dunia di hospital berkenaan.

“Ramai dalam keadaan kritikal dengan kesan tembakan di kepala dan dada,” katanya.

Sementara itu, orang ramai mula tampil menderma darah bagi membantu mereka yang cedera.

Pegawai polis, Shekhar Khanal memberitahu media lebih 100 orang termasuk 28 anggota polis sedang menerima rawatan akibat kecederaan.

Polis turut mengesahkan dua lagi kematian dalam protes di bandar Itahari, timur Nepal.

Penganalisis politik, Anurag Acharya dari badan pemikir Policy Entrepreneurs Inc. berpandangan larangan media sosial mungkin menjadi pencetus namun punca sebenar kemarahan rakyat lebih mendalam.

“Generasi muda ini membesar dengan impian Nepal baharu yang inklusif namun lebih sedekad selepas perlembagaan baharu digubal, impian itu masih belum tercapai,” jelasnya.

Protes besar-besaran itu menyaksikan ribuan belia termasuk pelajar sekolah dan universiti berarak di Kathmandu sambil membawa plakad bertulis “Hapuskan rasuah, bukan media sosial”, “Batalkan larangan media sosial” dan “Belia menentang rasuah”.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button