BERITA SEMASA

Lebih separuh umat Islam Malaysia tiada akaun TH, simpanan tidak mencukupi

KUALA LUMPUR – Hampir separuh daripada pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang menerima tawaran menunaikan haji pada setiap tahun terpaksa menolak atau menangguhkan giliran kerana tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk melaksanakan ibadat itu.

TH dalam kenyataan menjelaskan, keadaan itu berpunca daripada tahap simpanan pendeposit yang masih rendah, yang mana 53 peratus daripada 9.6 juta pendeposit tidak mencapai jumlah minimum RM1,300 yang diperlukan untuk mendaftar haji.

Lebih membimbangkan apabila agensi itu mendedahkan lebih separuh daripada umat Islam di negara ini masih belum membuka akaun TH walaupun institusi itu telah beroperasi selama lebih enam dekad sebagai platform simpanan untuk ibadat haji.

“Terdapat juga pendeposit berkemampuan yang memilih menyimpan di institusi kewangan lain sebelum memindahkan bayaran penuh ke akaun TH hanya selepas menerima tawaran menunaikan haji,” katanya.

Bagi menangani cabaran tersebut, TH menegaskan pihaknya sedang melaksanakan inisiatif peremajaan jenama bagi mengekalkan kedudukan sebagai institusi simpanan pilihan umat Islam.

“Peremajaan jenama ini bukan sekadar usaha meningkatkan kesedaran menabung secara konsisten, malah turut menekankan pengukuhan budaya kerja dalaman serta penyediaan perkhidmatan digital moden selaras dengan keperluan generasi muda,” jelas kenyataan itu lagi.

TH turut menambah bahawa semua dasar, operasi dan hal ehwal berkaitan ibadat haji terus berada di bawah kawalan penuh pengurusan bersama Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Penasihat Shariah dan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button