Rukun Negara bukan sekadar slogan, tetapi jantung Perlembagaan – Pakar
RUKUN Negara yang sering dilafazkan pada majlis-majlis rasmi bukanlah sekadar falsafah negara tanpa makna, sebaliknya merupakan intisari Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada identiti dan kedaulatan Malaysia.
Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan, setiap prinsip Rukun Negara mempunyai sandaran langsung kepada peruntukan utama dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan hanya simbolik.
“Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Setiap rukunnya mencerminkan roh Perlembagaan iaitu daripada Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang hingga Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau menjelaskan, misalnya prinsip pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan adalah manifestasi kepada Islam sebagai agama Persekutuan serta jaminan kebebasan beragama, manakala Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula berkait rapat dengan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemegang kuasa kedaulatan negara.
“Prinsip Keluhuran Perlembagaan menegaskan bahawa tiada undang-undang selepas 31 Ogos 1957 boleh bercanggah dengan Perlembagaan, manakala Kedaulatan Undang-undang adalah berpaksi pada kedudukan Islam sebagai undang-undang tempatan (law of the land) yang perlu dipertahankan oleh Raja-Raja Melayu.
“Prinsip terakhir, Kesopanan dan Kesusilaan pula menekankan nilai moral, akhlak serta keharmonian masyarakat majmuk,” jelasnya.

Menurutnya, cabaran besar kini ialah memastikan prinsip tersebut benar-benar dihayati rakyat, bukan sekadar dihafal.
“Patriotisme hanya lahir daripada rasa cinta kepada negara. Tetapi bagaimana mahu mencintai jika kita tidak mengenali keistimewaan dan jati diri sebenar negara kita?” ujarnya.
Dr Wan Ahmad Fauzi berpendapat, antara punca rakyat sukar menghayati Rukun Negara ialah kerana naratif sejarah yang khilaf masih diajar di sekolah.
“Kita perlu hentikan naratif kononnya Negeri Melayu dijajah. Hakikatnya, sembilan Negeri Melayu berdaulat bersetuju membentuk Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957 melalui Perjanjian Persekutuan.
“Jika anak bangsa mewarisi jiwa yang merdeka, mereka akan lebih menghargai Rukun Negara,” tegasnya.

Beliau juga menekankan, semangat Rukun Negara boleh diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui tindakan kecil tetapi bermakna.
“Menghormati bendera dan lagu kebangsaan, berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menjaga adab ketika berbeza pendapat dan menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu, semua ini adalah cara menghidupkan semangat Rukun Negara dalam diri,” jelasnya.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama, beliau menegaskan Rukun Negara harus dijadikan titik penyatuan.
“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah teras perpaduan. Jangan ada kompromi dalam soal bahasa kebangsaan kerana ia termasuk dalam kerangka keluhuran Perlembagaan,” katanya lagi.

Bagi memastikan Rukun Negara kekal relevan kepada generasi muda, terutama dalam era media sosial yang penuh dengan isu perpecahan, beliau menekankan perlunya penekanan semula terhadap sejarah tanah air yang sebenar, pemerkasaan bahasa kebangsaan serta kefahaman mendalam terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam dan adat tempatan.
“Rukun Negara akan hanya hidup jika rohnya dirasai. Untuk itu, sistem pendidikan perlu diperbetulkan, khususnya kandungan buku teks sejarah.
“Jika tidak, Rukun Negara akan terus menjadi bacaan rasmi semata-mata, bukan pegangan hidup,” katanya.
Dr Wan Ahmad Fauzi menambah, kerajaan juga wajar memperkukuh penyebaran nilai tersebut melalui polisi awam, media serta program pendidikan tidak formal.
Menurutnya, perpaduan tidak boleh dibina atas slogan semata-mata, sebaliknya melalui dasar berasaskan jati diri negara yang jelas.

“Unity in diversity yang perlu kita tekankan, bukannya diversity in unity. Maksudnya, kita harus bersatu atas apa yang tidak menjadi halangan seperti amalan bahasa kebangsaan, adat tempatan dan dukungan kepada prinsip keluhuran Perlembagaan.
“Perkara inilah yang akan menjadi titik temu kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin politik perlu menjadi teladan dalam menjunjung Rukun Negara.
“Ahli legislatif dan eksekutif mesti mengutamakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, bukan Perlembagaan parti masing-masing.
“Jika pemimpin sendiri tidak menghayati Rukun Negara, bagaimana rakyat mahu mencontohinya?” soal beliau.

Mengakhiri pandangannya, Dr Wan Ahmad Fauzi menekankan bahawa masa depan Rukun Negara bergantung kepada generasi muda yang harus dididik dengan semangat jati diri yang betul.
“Apabila anak bangsa kita tahu asal usul negara, memahami kedudukan Perlembagaan dan menghormati sejarah sebenar tanah air barulah mereka dapat menghayati Rukun Negara sebagai falsafah hidup. Dari situlah lahirnya patriotisme yang tulen,” katanya.
Apa yang pasti, Rukun Negara bukan sekadar deretan lima prinsip tetapi roh Perlembagaan Persekutuan dan denyut nadi sebuah negara bangsa.
Jika ia dihayati sepenuhnya, Malaysia bukan sahaja mampu mengekalkan perpaduan, bahkan terus berdiri teguh sebagai sebuah negara berdaulat di persada dunia yang mengekalkan jati diri watannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








