AGAMABERITA SEMASA

Wajib mudahkan urusan rakyat, bukan menyusahkan – Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menegaskan bahawa mana-mana pihak yang diberikan kuasa menguruskan hal ehwal masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menyulitkan atau menzalimi rakyat, sebaliknya wajib berlaku adil, berbuat baik dan mempermudah setiap urusan.

Menerusi satu perkongsian di WhatsApp Channel UAI, beliau merujuk kepada doa Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan dalam Sahih Ibnu Hibban yang bermaksud:

“Ya Allah, barangsiapa yang memegang urusan umatku lalu dia menyusahkan mereka, maka Engkau susahkanlah dia. Dan barangsiapa yang memegang urusan umatku lalu dia berbuat baik dengan mereka, maka Engkau berbuat baiklah dengannya.”

Ustaz Azhar menjelaskan, hadis itu menjadi peringatan besar kepada para pemimpin, majikan, ketua organisasi bahkan ibu bapa yang menguruskan keluarga agar tidak menggunakan kuasa untuk menyempitkan kehidupan orang di bawah jagaan mereka.

“Kuasa itu hanya pinjaman sementara. Di akhirat nanti, setiap pemimpin pasti akan ditanya sama ada dia berlaku adil dan memudahkan urusan orang bawahannya atau sebaliknya menyusahkan mereka,” katanya.

Menurut beliau lagi, doa Rasulullah SAW itu menunjukkan dua perkara utama iaitu kewajipan pemimpin memudahkan urusan rakyat.

“Harus mendoakan keburukan ke atas mereka yang menzalimi atau menyusahkan orang lain, meskipun berdoa kebaikan adalah lebih utama,” tegasnya.

Ustaz Azhar turut memetik pandangan ulama seperti Imam Nawawi yang menyifatkan hadis itu sebagai antara peringatan paling keras agar pemimpin tidak memayahkan rakyat, sebaliknya berlemah lembut dan memberi kemudahan.

Beliau menambah, ayat Al-Quran dalam Surah An-Nisa’ ayat 148 juga mengizinkan orang yang dizalimi untuk menyebut kezaliman yang dilakukan ke atasnya dan berdoa terhadap orang yang menzaliminya.

“Namun, doa keburukan itu hendaklah berpada-pada, sesuai dengan kadar kezaliman yang dilakukan.

“Tidak boleh melampau dengan mendoakan kebinasaan yang lebih besar daripada perbuatan zalim yang berlaku,” jelasnya lagi.

Ustaz Azhar menutup penjelasan dengan mengingatkan bahawa setiap orang adalah pemimpin pada skala masing-masing sama ada pemerintah, majikan, suami, isteri ataupun hamba yang menjaga harta tuannya dan semuanya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button