Dua pegawai STAR Team jadi perintis penerjun pertama Maritim Malaysia
PUTRAJAYA – Sejarah tercipta buat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) apabila dua pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) muncul sebagai perintis pertama pasukan elit itu yang memperoleh kepakaran terjunan, selepas dua dekad penubuhannya.
Kejayaan bersejarah itu direkodkan apabila kedua-dua pegawai berkenaan menamatkan Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air yang dikendalikan oleh Pasukan Khas Udara (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama jurulatih penerjunan bertauliah Unit 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kursus intensif selama hampir dua minggu itu berlangsung di Lapangan Terbang Lama, Tekah, Taiping, Perak, dari 10 hingga 22 Ogos lalu dengan penyertaan 15 peserta daripada pelbagai agensi keselamatan negara, termasuk seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM serta anggota PASKUB Bomba.
Sepanjang latihan, para peserta berjaya melaksanakan 13 kali terjunan dari ketinggian 4,000 kaki menggunakan pesawat Mi-17-IV (M994-01) BOMBA 01 sebagai platform rasmi.
“Penyertaan ini adalah langkah bersejarah yang memperkukuh keupayaan taktikal serta kepakaran udara operator STAR Team dalam misi khas maritim.
“Ia juga mencerminkan kerjasama strategik bersama agensi keselamatan lain demi meningkatkan profesionalisme dan kesiapsiagaan aset elit negara di medan operasi sebenar,” menurut kenyataan Maritim Malaysia.
Kursus tersebut turut melibatkan Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril Mat Noor bersama Ketua Skuadron Gempur Sabah & Sarawak, Leftenan Komander Maritim Nik Muhamad Hafizan Nik Muhamad Zawawi yang menjadi tonggak perintis kepada kepakaran baharu dalam pasukan elit itu.

Majlis pemakaian sayap kepakaran penerjunan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dalam Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di Putrajaya pagi tadi, sekali gus mengiktiraf kejayaan para peserta menamatkan kursus berprestij berkenaan.
Turut hadir mewakili kepimpinan tertinggi Maritim Malaysia ialah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Vincent Rajamony.
Penyertaan sulung STAR Team dalam kursus terjunan itu bukan sahaja mencatatkan detik bersejarah buat Maritim Malaysia, malah membuka jalan kepada pembangunan kepakaran udara yang melengkapkan kemampuan operasi khas di laut, darat dan udara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








