BERITA SEMASA

Ramanan bakal pantau projek kuil, sekolah Tamil, rangkum inisiatif baharu komuniti India

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan diberi mandat baharu mengawal selia serta memantau pelaksanaan projek melibatkan kuil dan sekolah Tamil, selain merangka inisiatif bagi memperkukuh pembangunan komuniti India.

Tanggungjawab itu diberikan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican mengarahkan Ramanan menjaga hal ehwal masyarakat India.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu mengesahkan menerima surat rasmi berkaitan perkara tersebut pada Isnin lalu.

“Ya, saya telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan akan mengulas lanjut selepas perbincangan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata, langkah susulan akan dibincangkan bersama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan sebelum pengumuman rasmi dibuat menjelang hujung minggu ini atau minggu depan.

Sejak menyertai Kabinet pada Disember 2023, Ramanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkasakan ekonomi komuniti India.

Antara inisiatif besar termasuk peruntukan RM100 juta melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big melalui TEKUN Nasional iaitu jumlah terbesar pernah disediakan khusus untuk komuniti India.

Selain itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk memperkasa usahawan wanita India melalui program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), RM100 juta melalui Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) serta RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Vanigham di bawah SME Bank untuk membantu perusahaan kecil.

Program lain turut merangkumi geran padanan RM6 juta menerusi Business Accelerator for Indian-Owned Companies (I-BAP) SME Corp, bantuan rumah ibadat, Program Vanakkam MADANI, Empowering Indian Entrepreneurs (EIP) dan geran khas untuk koperasi komuniti India (Bakti MADANI) yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button