Haaland ledak dua gol, Man City menang bergaya 4-0 di Molineux
WOLVERHAMPTON – Erling Haaland membuka kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan bergaya apabila meledak dua gol dalam kemenangan 4-0 Manchester City ke atas Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, awal pagi tadi, memetik laporan BH Online.
Dua pemain baharu, Tijjani Reijnders dan Rayan Cherki, turut menjaringkan gol pada penampilan sulung mereka bersama skuad kendalian Pep Guardiola, yang tampil meyakinkan selepas rombakan besar pada jendela perpindahan musim panas.
Haaland, yang kini menjaringkan gol dalam empat aksi pembukaan musim berturut-turut sejak tiba di England, membuka jaringan pada minit ke-34 hasil hantaran Rico Lewis selepas gerakan dimulakan Reijnders.
Tiga minit kemudian, Reijnders menggandakan kedudukan selepas menerima umpanan Oscar Bobb yang memanfaatkan kesilapan tuan rumah.
Penyerang Norway itu menambah gol kedua peribadi pada minit ke-61, juga hasil bantuan Bobb, sebelum digantikan oleh Cherki yang melengkapkan pesta jaringan City pada minit ke-81.
“Erling berada pada rentak yang baik, kami sudah merasakannya dalam latihan. Saya sangat berpuas hati dengan persembahan itu,” kata Guardiola.
Musim ini menyaksikan perubahan besar dalam skuad City selepas menamatkan kempen lalu di tempat ketiga tanpa sebarang trofi.
Guardiola membawa masuk Reijnders, Cherki, Rayan Ait-Nouri dan penjaga gol James Trafford manakala tonggak seperti Jack Grealish, Kyle Walker dan Kevin De Bruyne meninggalkan kelab.
Reijnders meluahkan kegembiraan selepas berjaya meledak gol sulungnya di Liga Perdana Inggeris.
“Ia satu permulaan yang indah dengan gol dan bantuan jaringan. Untuk melakukannya di Liga Perdana, ia sesuatu yang saya impikan,” katanya.
Pengendali Wolves, Vitor Pereira mengakui kualiti City terlalu sukar ditandingi.
“Kami bermain berani dan cuba menjaringkan gol, malah ada peluang. Tetapi setiap kesilapan dihukum dengan jaringan,” katanya.
Perlawanan itu turut dibayangi suasana pilu apabila penyokong Wolves memberi penghormatan kepada bekas penyerang mereka, Diogo Jota serta abangnya, Andre Silva, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya Julai lalu.
Sorakan nama “Diogo, Diogo” bergema pada minit ke-18 dengan nombor jersi Jota ketika bersama Wolves iaitu sebelum jersi miliknya diletakkan di tengah padang selepas tamat perlawanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








