OP Titan: 103 syarikat jadi sasaran operasi – LHDN
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 103 syarikat daripada pelbagai industri sebagai sasaran dalam pelaksanaan siri Operasi Pematuhan Cukai (OP) bagi tahun ini yang dikenali sebagai OP Titan.
Menurut LHDN, operasi selama 10 hari yang bermula hari ini hingga 22 Ogos itu merupakan antara inisiatif penguatkuasaan dan pencegahan terhadap ketidakpatuhan cukai, demi memastikan hasil negara terus terpelihara.
Katanya, pelaksanaan OP Titan adalah susulan tindakan segelintir pihak yang dikesan menyalahgunakan atau mentafsir undang-undang secara tidak tepat bagi tujuan mengelak daripada membayar cukai.
“Tindakan manipulatif seperti itu berpotensi melemahkan asas keadilan dalam sistem percukaian negara dan perlu diambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : E-Invois: LHDN berjaya kutip RM82 juta cukai tambahan
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menyempurnakan majlis perasmian OP Titan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas), Datuk Ahmad Khairuddin Abdullah; Pengarah Cawangan Industri Khusus, Vijayen Nagalingam, hari ini.
Dalam ucapannya, Abu Tariq berkata, semua petugas perlu berpegang teguh kepada tatacara, prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dalam melaksanakan tugas.
Tegas beliau, Rangka Kerja Audit Cukai Pendapatan dan Majikan serta Rangka Kerja Audit Harga Pindahan telah diperkenalkan bagi memastikan pelaksanaan audit cukai dibuat secara telus, adil dan saksama.
“Keyakinan awam terhadap LHDN akan meningkat sekiranya terdapat hubungan yang baik antara agensi dan pembayar cukai, sekaligus mendorong petugas LHDN untuk melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” katanya.
Dalam pada itu, LHDN berkata, fokus utama OP Titan ialah melaksanakan audit terhadap syarikat-syarikat besar dan multinasional yang dikenal pasti mempunyai risiko mengamalkan perancangan cukai agresif, pematuhan terhadap tuntutan insentif, serta transaksi antara kumpulan syarikat berkaitan.
“Melalui pendekatan audit ini, LHDN dapat mengesan pembayar cukai yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, LHDN berharap, menerusi pelaksanaan OP Titan, usaha penguatkuasaan tersebut dapat memperkukuh integriti dan keadilan dalam sistem percukaian negara, serta memastikan tahap pematuhan cukai yang berterusan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








