BERITA SEMASA

KPM perkenal laungan ‘anti buli’, bina mental pelajar

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melaksanakan laungan ‘anti buli’ sebagai usaha mewujudkan suasana sesi persekolahan yang selamat.

Menurut Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd. Azam Ahmad, langkah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh terdekat.

“Macam tadi saya sebut dalam mesyuarat, semua pengetua dan guru besar perlu pastikan sebelum masuk ke kelas, perkara pertama ialah melaungkan ‘Kami Benci Buli’.

“Selepas tamat sesi pembelajaran, sebelum pulang, murid juga perlu mengulanginya. Inilah peranan yang akan kita laksanakan untuk membina semula mental pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi Guru MADANI dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tingkatan 6, di sini.

Mohd Azam turut memberitahu, pihaknya telah menubuhkan Jawatankuasa Jemaah Nazir bagi memperinci dan memperhalusi audit keselamatan di semua sekolah setiap minggu.

Audit yang akan dilaksanakan itu diharap dapat mengurangkan kes buli dan gangsterisme, sama ada di sekolah harian mahupun di sekolah berasrama.

“Saya sudah arahkan supaya laporan ini dibentangkan seminggu sekali untuk saya lihat isu keselamatan yang berlaku dan seterusnya mengambil tindakan dalam jangka masa pendek,” katanya.

Pada masa yang sama, KPM juga akan menambah baik sistem pengurusan dan akses keselamatan di sekolah berasrama.

“Kita akan perhalusi isu sumber manusia, termasuk menambah bilangan warden asrama serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button