Kempen Selawat: Seruan cinta dan tanda penyatuan umat
MENJELANG tibanya bulan Rabiulawal, gema selawat semakin rancak berkumandang di segenap pelosok negara.
Sama ada melalui media sosial, masjid, institusi pendidikan mahupun acara berskala kebangsaan, umat Islam berlumba-lumba menyatakan cinta kepada Rasulullah SAW dengan memperbanyakkan selawat.
Fenomena ini tidak sekadar menggembirakan, malah memberi harapan kepada ummah yang dahagakan perpaduan, adab dan akhlak di zaman penuh cabaran ini.
Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Kolej Islam As Sofa, Ustaz Muhammad Dzul Rahman Othman berkata, penganjuran sebarang kempen selawat adalah manifestasi cinta yang mempunyai dimensi rohani dan sosial yang amat luas.

“Apabila kita berselawat, sebenarnya kita sedang menghubungkan hati kita dengan kekasih Allah, Rasulullah SAW.
“Selawat ini bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi satu bentuk didikan hati, pembersihan jiwa dan pengiktirafan terhadap perjuangan Baginda yang membawa syiar Islam,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau kelebihan selawat jelas disebut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 56 sekali gus menjadi asas kukuh ibadah ini.
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan.”
Selain itu, hadis riwayat Tirmizi turut yang menegaskan kedudukan tinggi selawat dalam Islam apabila Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.”
Menurut Ustaz Dzul Rahman, hadis ini jelas menunjukkan kemuliaan mereka yang berselawat ke atas Rasulullah SAW hingga peringkat Allah sendiri akan membalas sekali selawat yang diucapkan dengan 10 kali ganda.
“Selawat yang Allah ucapkan itu bermaksud rahmat dan kasih sayang-Nya akan meliputi bagi sesiapa yang mengucapkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW,” tegasnya.
Menyedari kepentingan selawat dalam kehidupan umat Islam, Kolej Islam As Sofa melalui platform TV As Sofa di TikTok telah menganjurkan Kempen 10 Juta Selawat Buat Rasulullah SAW.

“Menerusi kempen ini yang telah bermula pada 21 Julai lalu, seramai 450 individu atau digelar Pencinta Rasulullah SAW berusaha melaksanakan cabaran berselawat sebanyak 500 kali sehari selama 45 hari.
“Antara caranya ialah berselawat sebanyak 100 kali setiap kali selepas solat lima waktu. Insya-Allah, kempen ini akan berlangsung sehingga 3 September depan dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” jelasnya.
Justeru, beliau menyatakan kempen selawat yang digerakkan hari ini tidak wajar dilihat hanya sebagai upacara ritual semata-mata.
Sebaliknya, ia adalah ruang dakwah dan pembentukan akhlak yang sangat besar impaknya jika dilakukan dengan penuh istiqamah.
“Dalam keadaan masyarakat kini yang semakin gersang dengan nilai adab dan sopan, selawat boleh menjadi terapi rohani yang menenangkan jiwa.
“Ia mendidik kita untuk sentiasa kembali kepada sirah dan akhlak Rasulullah SAW serta meneladani sunnah Baginda dalam menjalani kehidupan seharian,” tambah beliau.
Beliau turut menyeru agar kempen sebegini tidak bersifat bermusim tetapi ia perlu dihidupkan secara berterusan dan dijadikan sebahagian daripada budaya hidup Muslim moden.

“Sama ada dalam bentuk zikir harian, seni mural, nyanyian nasyid, sesi tazkirah atau dimasukkan dalam silibus pendidikan, selawat perlu diperkasa dan dikembangkan dalam pelbagai bentuk yang menepati adab dan akidah Islam,” katanya.
Ujarnya lagi, salah satu keunikan kempen selawat ialah keupayaannya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
“Majlis selawat yang dianjurkan secara berjemaah sama ada di surau, masjid, sekolah, universiti mahupun di stadium atau secara dalam talian, memperlihatkan umat Islam duduk bersama, melupakan perbezaan dan bersatu atas nama cinta terhadap Rasulullah SAW.
“Inilah kekuatan selawat. Ia tidak memecah, tetapi mengikat hati. Ia tidak menjauh, tetapi mendekatkan. Ia membawa rahmat dan menyemarakkan ukhuwwah,” jelas Ustaz Dzul Rahman.
Oleh itu, dalam menyambut kedatangan Maulid Nabi SAW, kempen selawat sewajarnya terus diperluas dan diperkasakan.
Ia bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi satu gerakan cinta dan dakwah yang membawa harapan untuk memperbaiki jiwa individu dan membina masyarakat yang lebih harmoni.
“Marilah kita terus memperbanyakkan selawat, bukan hanya sebagai lafaz pujian, tetapi sebagai bukti cinta dan penghormatan kepada insan mulia yang membawa cahaya Islam kepada kita semua.
“Ingat bahawa selawat itu adalah jambatan kepada rahmat Allah SWT,” seru Ustaz Dzul Rahman penuh harapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








