RMK13 cerminan komitmen kerajaan – BBC
KUALA LUMPUR – Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club – BBC) menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentangkan untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam satu kenyataan hari ini, BBC menyifatkan RMK13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” sebagai cerminan jelas komitmen kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI khususnya melalui usaha menstruktur semula ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“RMK13 menggariskan matlamat pembangunan sosioekonomi negara menerusi tiga dimensi utama iaitu berpendapatan tinggi dan mampan, kehidupan bermutu dan terangkum serta kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
BBC turut menyambut baik pendekatan berasaskan data yang diterapkan dalam perangkaan dasar RMK13 yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah tadbir urus lebih telus, efisien dan bertanggungjawab.
Kelab itu juga menghargai kesungguhan kerajaan MADANI dalam menangani jurang ketidaksamarataan antara bandar dan luar bandar, sambil menegaskan bahawa manfaat pembangunan di bawah RMK13 akan dinikmati secara adil oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau lokasi.
“Sebagai penyokong kerajaan di Dewan Rakyat, BBC komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan pelaksanaan RMK13 berjalan lancar, dipantau rapi dan disemak secara berkala agar kekal menepati matlamat asal,” kata kenyataan itu lagi.
BBC turut menyuarakan keyakinan di bawah kepimpinan Anwar, Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








