BERITA SEMASA

KPDN jamin lindungi royalti karyawan muzik

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan akan terus memperjuangkan hak royalti karyawan muzik tempatan, selagi mana karya mereka dimanfaatkan pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelbagai penambahbaikan sedang dirangka bagi memastikan isu royalti muzik yang telah berlarutan sejak puluhan tahun lalu dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.

“Menjadi tanggungjawab saya sebagai peneraju KPDN untuk memastikan hasil karya muzik terus memberi manfaat kepada karyawan bukan sahaja sepanjang karier mereka, tetapi selama karya itu digunakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kini dalam usaha memperkenalkan Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) di bawah Seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987.

“MyIPO diberi kuasa untuk mengeluarkan garis panduan berkenaan perisytiharan dan pengendalian pihak yang didaftarkan sebagai CMO, iaitu badan yang diberi mandat oleh pemilik hak cipta bagi menguruskan royalti mereka.

“Langkah itu bertujuan menambah baik keseluruhan ekosistem pengurusan royalti muzik termasuk aspek advokasi, pematuhan, kutipan serta pembayaran yang lebih telus,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Armizan turut memaklumkan beliau sempat bertemu dua artis kelahiran Sabah, Bella Astillah dan Elica Paujin ketika menghadiri Karnival Jelajah KPDN Zon Sabah di Ranau, semalam.

“Saya bertanya mengenai perkembangan kerjaya mereka dan kefahaman berhubung isu royalti. Isu itu telah lama berlarutan dan memerlukan pendekatan yang sistematik,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurut Armizan, terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan baharu tersebut dan telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah.

KPDN, MyIPO serta Menteri sendiri dinamakan sebagai responden dalam kes tersebut.

“Kita serahkan kepada proses undang-undang dan sistem kehakiman untuk membuat keputusan. Hasrat kita tetap jelas iaitu untuk melindungi dan memelihara hak semua pihak termasuk karyawan dan artis,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan tidak boleh berdiam diri melihat nasib sebahagian penggiat seni yang berdepan kesempitan hidup meskipun mempunyai karya yang memberi manfaat kepada banyak pihak.

“Karya dan bakat adalah harta. Karya dan bakat juga adalah sumber rezeki,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button