BERITA SEMASADALAM NEGERI

Penjawat awam diingatkan tidak sertai Perhimpunan Turun Anwar – KSN

PUTRAJAYA – Penjawat awam diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 26 Julai ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan, setiap penjawat awam tertakluk kepada ikrar kesetiaan kepada raja dan negara yang dilafazkan setiap minggu, sekali gus menuntut komitmen penuh terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

“Mereka penjawat awam, mana boleh turun?” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Ansara (KSA) 2025 di ibu negara semalam.

Jelas beliau, adalah penting bagi setiap penjawat awam memahami serta menghayati sepenuhnya maksud ikrar tersebut yang menjadi tunjang kepada integriti dan etika perkhidmatan awam.

“Kita baca ikrar tu setiap hari, setiap minggu. Kesetiaan kepada raja dan negara. Lupakah?

“Taat setialah kepada raja dan negara,” tegas beliau lagi.

Baca juga : Kerap tukar kerajaan bukan cara Islam, ulama mahu pentadbiran Anwar kekal

Terdahulu, PAS dalam satu sidang media pada 12 Julai lalu memaklumkan, pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung di ibu negara.

Penganjuran perhimpunan itu dilaporkan sebagai isyarat kebangkitan rakyat terhadap apa yang didakwa sebagai kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button