Jerebu rentas sempadan punca pencemaran udara di pantai barat Semenanjung
KUALA LUMPUR – Situasi jerebu di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia ketika ini adalah disebabkan jerebu rentas sempadan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan analisis imej dicerap satelit NOAA-20 dikeluarkan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) semalam, wujud 79 titik panas di kawasan Sumatera, Indonesia.
“Ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu berkenaan yang dibawa (ke Malaysia) oleh tiupan angin barat daya.
“MET Malaysia tidak menjangkakan sebarang cuaca hujan atau perubahan arah tiupan angin bagi mengurangkan kesan jerebu berkenaan dalam tempoh beberapa hari ini.
“Justeru, orang awam dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka memandangkan ia boleh menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk dan pencemaran terhadap alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih menerusi laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia atau menghubungi talian Hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan stesen pemantauan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Port Dickson mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat (100) setakat jam 1 tengah hari semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








