BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM sita aset lebih RM183 juta, sindiket besi disyaki rugikan negara hampir RM1 bilion

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset mewah bernilai lebih RM183 juta dalam satu operasi besar-besaran membongkar kegiatan sindiket penyeludupan besi yang dipercayai menyebabkan negara kerugian hasil cukai melebihi RM950 juta.

Serbuan Op Metal yang dijalankan bermula Isnin lalu itu dilaksanakan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) di lima negeri.

45 akaun bank dibeku

Operasi berkenaan turut menyaksikan pembekuan 45 akaun bank milik syarikat dan 82 akaun individu, melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM51 juta.

Menurut sumber, operasi berkenaan turut menyaksikan pembekuan 45 akaun bank milik syarikat dan 82 akaun individu, melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM51 juta.

“Aset yang disita termasuk lapan hartanah di Pulau Pinang seperti tiga unit banglo di Batu Maung, satu penthouse di Tanjung Tokong, sebuah lot kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal, 7.1 ekar di Batu Uban dan 5.6 ekar tanah di Juru.

“Turut dirampas, tanah ladang kelapa sawit seluas lebih 1,960 ekar di Kuala Krai, Kelantan,” katanya.

Selain hartanah, SPRM turut menyita enam buah kenderaan mewah termasuk Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard dengan anggaran nilai lebih RM1.9 juta.

“Turut dirampas, lima unit jam tangan mewah pelbagai jenama seperti Patek Philippe, Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster dan Omega Seamaster yang dianggarkan bernilai lebih RM740,000,” jelas sumber itu lagi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pembekuan akaun-akaun dan sitaan aset terbabit, termasuk beberapa penggeledahan susulan di 13 lokasi lain di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan Lembah Klang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket terbabit aktif menyeludup keluar besi serta bahan buangan elektronik (e-waste) melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang sejak enam tahun lalu.

“Akibat kegiatan itu, kerajaan dianggarkan menanggung kerugian hasil cukai lebih RM950 juta.

“Siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009, selain elemen jenayah berkaitan pengubahan wang haram, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Kastam 1967 oleh agensi terlibat,” katanya.

SPRM juga sedang mengenal pasti individu dan entiti yang bersubahat dalam sindiket penyeludupan berkenaan yang dipercayai melibatkan jaringan kegiatan jenayah terancang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button