Dengkil bakal jadi daerah pelupusan sampah?
Isu ceroboh tanah di Dengkil dalam pemantauan
DENGKIL – Isu pencerobohan tanah dan pembuangan sampah haram di daerah ini terus mencetuskan kebimbangan apabila satu lagi kawasan dipercayai menjadi lokasi pelupusan sisa tidak sah dikesan berhampiran Kampung Sri Tanjung, di Jalan Banting–Semenyih.
Menurut sumber, aktiviti mencurigakan di kawasan itu melibatkan kerja-kerja pembuangan sampah yang tidak diketahui statusnya dan juga kegiatan pengeluaran tanah.
Lebih mengejutkan, tapak kawasan yang diceroboh itu terletak bersebelahan dengan tanah milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Tindakan membuang sampah dan mengorek tanah di lot bersebelahan tanah kastam itu jelas menimbulkan tanda tanya, sama ada dilakukan secara sah atau sebaliknya.
“Kegiatan ini kita percaya masih baru dilakukan. Mungkin ini susulan daripada wujudnya beberapa tapak pembuangan sampah haram yang dikesan sebelum ini,” katanya.
Menurut sumber, pemantauan menggunakan dron mendapati dua tapak berkeluasan puluhan ekar di kawasan itu diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab memandangkan tiada sebarang pemakluman dipaparkan di laluan masuk.
“Kami bimbang kegiatan ini terutamanya korek tanah akan menyebabkan banjir di kawasan berhampiran manakala tapak pembuangan sampah menambah kadar pencemaran yang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap isu tersebut bagi mengelakkan keadaan bertambah serius.
“Jika tidak dikawal, tidak mustahil tidak lama lagi Dengkil akan bertukar menjadi tapak pembuangan sampah,” tegasnya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim ketika dihubungi berkata, isu di kawasan berkenaan sedang dalam tindakan dan sudah dibangkitkan dalam mesyuarat yang diadakan secara berkala yang diketuai Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
Beliau memberitahu, isu berkenaan melibatkan tanah milik persendirian dan milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Untuk makluman, isu mengenai sampah dalam daerah ini diselaraskan oleh MPSepang.
“Mengenai kawasan dimaksudkan, isu ini sudah dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan dan tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat,” kata Khairi Azali ketika dihubungi, hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








