BERITA SEMASAPOLITIK

RCI badan kehakiman mesti berpaksikan fakta, bukan tuduhan rambang – Ketua AMK

KUALA LUMPUR – Tuntutan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkaitan pelantikan badan kehakiman tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa disertakan fakta yang jelas dan kukuh.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Munim berkata, sebarang usaha ke arah penambahbaikan institusi kehakiman amat dialu-alukan, namun ia mesti dilakukan dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan prinsip kebebasan institusi tersebut.

“Sebarang cadangan untuk menambah baik atau meningkatkan integriti badan kehakiman amat dialu-alukan dan PKR meraikan pandangan tersebut. Kita tidak mahu insiden lalu berulang,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Namun begitu, beliau menolak sebarang bentuk campur tangan luar termasuk dari pihak eksekutif dan legislatif, sekiranya hanya berpaksikan kepada dakwaan yang tidak disertakan bukti kukuh.

“Tuntutan untuk menubuhkan RCI perlu berpaksikan fakta yang jelas dan bukan tuduhan tanpa asas. Jika wujud sebarang dakwaan salah laku mana-mana hakim, amatlah tidak wajar mengheret mana-mana pihak untuk campur tangan terutama pihak eksekutif mahupun legislatif.

“Sebaliknya, isu dalaman institusi kehakiman perlu ditangani dengan cermat oleh badan kehakiman itu sendiri berdasarkan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.

Muhammad Kamil turut menyuarakan kebimbangan terhadap kewujudan segelintir pihak yang didakwa cuba memanipulasi keadaan dengan membina persepsi kononnya wujud krisis dalam institusi kehakiman semata-mata untuk menyerang kerajaan dan Perdana Menteri.

“Ada kelompok kecil yang cuba menimbulkan persepsi seolah-olah wujud krisis atau kemelut dalam hal ini dan menangguk di air keruh dengan terus memainkan isu ini untuk menyerang kerajaan khususnya Perdana Menteri demi kelangsungan politik mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa PKR sejak awal penubuhannya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kebebasan badan kehakiman dan tidak pernah berkompromi dalam hal berkaitan integriti serta kebebasan institusi tersebut.

“PKR sejak awal perjuangan parti telah menyatakan pendiriannya secara konsisten bahawa institusi kehakiman wajib bebas dan kita tidak akan berkompromi sama sekali dalam hal ini,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button