BERITA SEMASA

Inisiatif bersama Bank Rakyat dan PAVAC bina generasi celik kewangan dan bebas dadah di SJKT Cheras

KUALA LUMPUR – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Cheras terus komited dalam melahirkan generasi celik kewangan dan mengamalkan gaya hidup sihat apabila menganjurkan program pembukaan Akaun Nuri Bank Rakyat serta pendedahan bahaya vape, tembakau dan dadah di kalangan murid-murid sekolah.

Program dua dalam satu itu merupakan kerjasama strategik antara Bank Rakyat Cawangan Shamelin, Pertubuhan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) serta Parents Against Vape and Cigarette (PAVAC) Kuala Lumpur dengan sokongan daripada PEMADAM.

SKJT Cheras
Pertandingan mewarna turut diadakan untuk pelajar.

Guru Besar SJKT Cheras, Sumathi berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Rakyat atas usaha murni dalam memupuk budaya menabung di peringkat usia muda.

“Pihak sekolah sangat menghargai inisiatif Bank Rakyat ini. Ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pentingnya simpanan wang, malah turut membina asas pengurusan kewangan yang baik sejak awal lagi,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada program galakan menabung, pihak Bank Rakyat hadir ke sekolah bagi membantu pembukaan akaun simpanan Nuri untuk para murid.

Program turut diserikan dengan peraduan mewarna anjuran Bank Rakyat serta sesi ceramah kesedaran bertajuk ‘Tiada Vape, Tiada Tembakau, Tiada Dadah’ yang dikendalikan oleh wakil PAVAC.

SKJT Cheras
Para pelajar tekun mewarna lukisan masing-masing.

Ceramah itu bertujuan memberi pendedahan awal tentang bahaya penggunaan bahan terlarang dan kesannya terhadap kesihatan serta masa depan murid-murid.

Dalam pada itu, pihak PIBG dan LPS SJKT Cheras turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PAVAC atas kerjasama berterusan bersama PEMADAM dalam mendidik generasi muda untuk menjauhi gejala tidak sihat.

“Program sebegini harus diperluaskan dari semasa ke semasa agar kesedaran tentang bahaya vape, tembakau dan dadah dapat dipupuk di peringkat awal lagi.

“Ia amat penting dalam membina masyarakat yang sihat dan cergas,” ujar wakil PIBG.

Gabungan program kewangan dan kesedaran sosial ini membuktikan pendidikan menyeluruh merangkumi pembangunan sahsiah dan nilai hidup yang baik perlu diberi perhatian serius khususnya di peringkat sekolah rendah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button