BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Bau busuk dan kotor: DBKL serbu rumah teres dijadikan reban ayam

KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 ekor ayam hidup disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi bersepadu ke atas sebuah rumah teres di ibu kota yang dijadikan tempat penternakan unggas secara haram.

Menurut kenyataan DBKL, serbuan dilakukan susulan aduan penduduk sekitar mengenai bau busuk dan keadaan persekitaran yang kotor berpunca daripada aktiviti penternakan ayam di rumah berkenaan.

Reban ayam
Reban ayam yang dibina di sebuah kawasan perumahan diserbu DBKL.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis telah membina struktur tambahan secara haram di bahagian belakang rumah dan menempatkan beberapa reban ayam di atas rizab jalan, satu pelanggaran ketara dari sudut teknikal dan undang-undang.

“Premis berada dalam keadaan kotor dan berbau busuk, mengganggu keselesaan serta keharmonian jiran tetangga,” kata DBKL dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa sebelum ini telah mengeluarkan Notis Menghentikan Kacauganggu kepada pemilik premis pada 1 Julai 2025 mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976, namun pemilik didapati ingkar dan masih meneruskan aktiviti penternakan.

Berikutan itu, sebanyak 37 ekor ayam telah disita dan dibawa ke Unit Kawalan Pest DBKL untuk tindakan selanjutnya.

Satu kompaun turut dikenakan atas kesalahan tidak mematuhi notis dan menternak unggas di kawasan perumahan yang menyalahi peraturan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

DBKL turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang aktiviti penternakan ayam atau unggas di kawasan kediaman adalah dilarang sama sekali kerana boleh menyebabkan gangguan bau, najis, pembiakan lalat serta risiko penularan penyakit.

“DBKL akan terus melaksanakan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang demi menjaga kesejahteraan dan kebersihan persekitaran komuniti bandar,” jelas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button