BERITA SEMASADALAM NEGERI

KKM teliti cadangan MC digital elak pemalsuan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti cadangan penggunaan sijil cuti sakit (MC) digital bagi membendung isu pemalsuan, kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mengulas cadangan yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Menteri Kesihatan itu berkata, langkah tersebut wajar diteliti.

“Boleh juga… kita sedang teliti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Kebangsaan Kesihatan Awam dan Persidangan Saintifik NIH di Putrajaya hari ini.

Baca juga : 2,248 pegawai perubatan terima penempatan, rayuan dibuka hari ini – Dr Dzulkefly

Dalam masa sama, Dzulkefly berkata, kementeriannya mengambil maklum pembongkaran sindiket penjualan MC palsu di Kedah yang sedang disiasat oleh pihak polis.

“Saya baru dengar taklimat dan kita tunggu siasatan tapi kita (KKM) izinkan untuk siasatan,” katanya.

Tegas beliau, penjawat awam yang didapati mengeluarkan MC palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, bagi pengamal perubatan swasta, siasatan akan dijalankan di bawah seliaan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).

Semalam, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mahu laporan segera dibentangkan berhubung pembongkaran sindiket penjualan MC palsu di Kedah.

Menurutnya, laporan itu akan membolehkan siasatan dalaman dibuat untuk mengenal pasti pembabitan penjawat awam dalam sindiket terbabit.

Terdahulu, tiga lelaki termasuk seorang pesakit jantung ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan menghasilkan dan menjual sijil MC palsu.

Kegiatan terbongkar selepas siasatan dalaman dijalankan terhadap seorang anggota polis yang kerap cuti sakit, dengan sijil MC dikemukakan dilihat mencurigakan.

Hasil maklumat, polis menyerbu sebuah premis di Taman Songket Indah, Sungtai Petani pada 26 Jun lalu.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia lewat 40-an ditahan, dengan kira-kira 20 keping sijil MC palsu berserta pelbagai kelengkapan berkait kegiatan itu seperti tablet, komputer riba, mesin pencetak, cop nama doktor dirampas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button