POLITIK

Anwar tidak menjerit dalam mesyuarat MPP – Maszlee, Amin nafi dakwaan Rafizi

KUALA LUMPUR – Dua Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR tampil menafikan dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjerit selama hampir 20 minit dalam satu mesyuarat MPP berhubung isu pemilihan parti.

Ahli MPP, Dr Maszlee Malik menyifatkan kenyataan Rafizi sebagai tidak berasas dan keterlaluan serta menyifatkannya sebagai satu bentuk pembohongan.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, YAB Presiden Keadilan tidak menjerit walau seminit pun dalam mesyuarat terakhir MPP yang membincangkan soal pemilihan parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

Maszlee turut menyatakan bahawa beliau bersama majoriti ahli MPP lain menjadi saksi bahawa tiada sebarang pertikaman lidah atau insiden meninggikan suara seperti yang digambarkan oleh Rafizi dalam sebuah episod podcast baru-baru ini.

“Jika ada yang mengatakan Presiden menjerit selama 20 minit, maka individu itu sama ada menipu, berhalusinasi atau sedang mengalami gangguan serius,” tegas beliau.

Nada sama turut disuarakan Ahli MPP, Amin Ahmad yang mempersoalkan dakwaan tersebut menerusi ciapan ringkas di platform X.

“Saya pun hadir. Tak tahu pula ada gaduh besar. Tak rasa ada tinggi suara sampai dekat setengah jam,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa beliau telah dimarahi dengan suara tinggi oleh Presiden PKR dalam mesyuarat tersebut, susulan tegurannya terhadap sistem pengundian digital parti yang didakwa tidak telus dan berisiko untuk dimanipulasi.

Rafizi turut membangkitkan isu teknikal seperti kod sumber, pelayan (server) dan penggunaan teknologi blockchain dalam sistem pengundian parti.

Namun, penafian dua ahli MPP itu menimbulkan persoalan sama ada insiden tersebut benar-benar berlaku atau hanya persepsi peribadi yang disampaikan secara terbuka.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Anwar Ibrahim berhubung dakwaan mahupun penafian yang berbangkit.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button