Pengeluaran Akaun 2 KWSP untuk insurans kesihatan tidak wajib – Dr Dzulkefly
PUTRAJAYA – Cadangan penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan pembelian insurans kesihatan tidak bersifat mandatori, sebaliknya bersifat sukarela dan tertakluk kepada pilihan pencarum.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bertujuan memberi fleksibiliti kepada rakyat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan asas yang lebih baik dan menyeluruh.
“Penggunaan Akaun 2 KWSP bukanlah sesuatu yang wajib. Insurans asas ini juga tidak diwajibkan.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, ia bukan langkah compulsory, tetapi pilihan yang sedang dibangunkan sebagai satu opsyen tambahan kepada rakyat.
“Ia melengkapi pelbagai produk insurans kesihatan swasta yang sudah ada dalam pasaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan pemain industri insurans serta takaful kesihatan swasta.
Beliau berkata, bayaran premium bagi program insurans kesihatan asas yang dinamakan Medical Health Insurance Takaful (MHIT) boleh dibuat secara terus oleh individu atau melalui Akaun 2 KWSP sebagai salah satu pilihan kaedah pembayaran.
“Akaun 2 KWSP memang diperuntukkan untuk tujuan pendidikan dan kesihatan. Ia tidak ada kaitan dengan Akaun 1 yang dikhususkan untuk simpanan hari tua. Akaun 2 ini pula bagi tujuan pra-persaraan seperti kesihatan dan pendidikan.
“Sekali lagi saya tegaskan, penggunaan ini adalah bersifat sukarela,” katanya lagi.
Dzulkefly berkata, pelaksanaan MHIT dijangka mampu memperluas akses rakyat kepada perlindungan perubatan asas dan dalam masa sama mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam apabila lebih ramai mendapatkan perlindungan kesihatan melalui saluran swasta.
Ditanya sama ada konsep MHIT menyamai skim pelaburan seperti dana amanah saham, beliau menjawab bahawa ia bergantung kepada keperluan dan pilihan individu masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, satu taklimat khas bersama media akan diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja keseluruhan pelan pelaksanaan MHIT dimuktamadkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








