Mahasiswa USIM dekati komuniti Orang Asli melalui Program Kembara Bakti
SERAMAI 40 orang mahasiswa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan Kembara Bakti: Mahasiswa Prihatin Orang Asli yang berlangsung baru-baru ini selama tiga hari di Kampung Orang Asli Sungai Ubi, Cameron Highlands, Pahang.
Program anjuran Sekretariat Kesukarelawanan Mahasiswa (SKM) itu bertujuan memupuk kesedaran serta kefahaman mahasiswa terhadap budaya dan kehidupan masyarakat Orang Asli melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti tersebut.

Sepanjang program tiga hari dua malam itu, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dijalankan, termasuk senamrobik, mini explorace, sesi mewarna untuk kanak-kanak serta pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung.
Pengarah Program, Shaza Syahmi Mansor, 22, berkata, pengalaman menyertai program itu memberi peluang berharga kepada dirinya dan rakan-rakan untuk mengenali budaya Orang Asli dengan lebih dekat.
“Kami bersyukur kerana penduduk kampung, terutamanya Tok Batin Osman dan Embah Genut, memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang program.
BACA : Mahasiswa USIM perjuang isu Palestin, anjur konvoi dan himpunan aman
“Mereka bukan sahaja membantu menyediakan tempat penginapan, malah melayan kami dengan penuh mesra dan turut sama menjayakan jamuan barbeku pada malam kedua,” katanya.
Menurut Shaza Syahmi lagi, aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan hangat daripada penduduk khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang begitu teruja menyertai setiap acara.
“Suasana kampung sangat meriah dengan gelak tawa. Kami dapat rasakan semangat kekitaan yang tulen,” tambahnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan dalam kalangan masyarakat luar bandar yang mungkin kurang mendapat akses kepada rawatan berkala.

“Pemeriksaan sebegini amat bermanfaat dan kami gembira melihat sambutan positif daripada penduduk kampung terhadap inisiatif ini,” ujarnya.
Menurut data Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), terdapat lebih 150,000 masyarakat Orang Asli di Malaysia dan lebih 70 peratus daripadanya tinggal di kawasan pedalaman.
Maka, program sebegini menjadi jambatan penting dalam menyampaikan khidmat sosial dan kemanusiaan kepada golongan yang terpinggir.
Program diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama penduduk sebagai simbol ukhuwah yang terbina sepanjang tempoh program.
Kembara Bakti bukan sekadar program khidmat masyarakat, malah menjadi wadah pembelajaran bermakna buat para mahasiswa dalam memahami realiti kehidupan luar bandar serta memupuk nilai empati dan kemanusiaan yang sejati.
Ia bukan sahaja mencorak jiwa mahasiswa menjadi lebih empati malah turut memberi impak besar kepada komuniti yang disantuni.
“Kesukarelawanan melatih kita untuk melihat dunia dari perspektif orang lain dan itu adalah asas kepada kemanusiaan,” kata tokoh akademik negara, Prof Dr. Mohd Kamal Hassan.
Semangat kesukarelawanan ini diyakini mampu membentuk generasi muda yang lebih prihatin dan menyumbang secara aktif ke arah masyarakat yang bersatu padu dan penyayang.
Oleh NURLATIFAH SUHAIME
Pelajar Pengurusan Dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








