LUAR NEGARASUKAN

Liverpool tolak tawaran Bayern Munich bagi Luis Díaz

LIVERPOOL – Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dilaporkan menolak tawaran rasmi daripada Bayern Munich untuk mendapatkan khidmat pemain sayap sensasi, Luis Díaz.

Menurut laporan media antarabangsa, kelab dari Jerman itu mengemukakan tawaran menerusi pengarah sukan mereka, Max Eberl, namun ia ditolak serta-merta oleh pihak pengurusan Liverpool yang menyifatkan pemain tersebut tidak untuk dijual.

Tindakan itu merupakan kali kedua Liverpool menolak minat terhadap pemain kebangsaan Colombia itu selepas Barcelona turut gagal dalam cubaan mendapatkan Díaz sebelum ini.

Luis Díaz yang kini berusia 28 tahun, masih mempunyai kontrak bersama Liverpool sehingga tahun 2027.

Beliau mencatatkan musim terbaiknya pada musim 2024/2025 dengan menjaringkan 17 gol dalam 50 penampilan dan memainkan peranan penting dalam membantu Liverpool merangkul kejuaraan liga.

Meskipun tiada rundingan rasmi mengenai sambungan kontrak setakat ini, Díaz sebelum ini menyatakan komitmennya untuk terus kekal di Anfield dan terbuka untuk berbincang mengenai masa depannya bersama kelab.

Liverpool dipercayai hanya akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang amat tinggi dan lumayan memandangkan nilai dan sumbangan Díaz kepada kelab sangat besar.

Pemain tersebut dibawa masuk dari kelab Portugal, FC Porto pada Januari 2022 dengan nilai perpindahan sekitar £50 juta (RM300 juta) dan setakat ini telah menjaringkan 41 gol dalam 148 perlawanan dalam semua kejohanan.

Difahamkan, Bayern Munich kini sedang mencari pemain sayap berkualiti tinggi bagi mengisi kekosongan dalam skuad mereka, namun Liverpool tetap bertegas untuk mengekalkan Díaz sebagai antara tonggak utama pasukan musim depan.

Langkah Liverpool menolak tawaran tersebut turut dilihat sebagai isyarat jelas bahawa kelab itu mahu mengekalkan kestabilan skuad dan memastikan persediaan rapi untuk menghadapi musim baharu di bawah kendalian Arne Slot.

Kehadiran Díaz yang kini menjadi antara pemain utama bersama Mohamed Salah dan Darwin Núñez dijangka terus memperkukuh jentera serangan The Reds.

Luis Díaz kekal di Anfield sekurang-kurangnya buat masa ini namun tidak mustahil kelab lain akan tampil dengan tawaran lebih besar menjelang penghujung jendela perpindahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button