Pelaburan RM6.4 bilion direalisasi, ECERDC catat lonjakan luar biasa
KUALA LUMPUR – Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila berjaya merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pelaburan tersebut berjaya mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu di rantau berkenaan.
Jelas beliau, selain nilai pelaburan yang telah direalisasikan, jumlah pelaburan komited turut mencatat angka memberangsangkan iaitu RM10.4 bilion, melepasi sasaran RM10 bilion yang ditetapkan untuk sepanjang tahun 2025.
“Saya turut meneliti petunjuk utama kemajuan ECER dan membincangkan kerangka hala tuju pembangunan wilayah ini di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang sedang giat disediakan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat ECERDC yang membincangkan kemajuan semasa petunjuk utama koridor ekonomi itu.
Baca juga : Shell umum pelaburan tambahan lebih RM9 bilion di Malaysia – PM
Anwar berkata, lapan projek strategik dan berimpak tinggi dijadualkan siap pada tahun ini di bawah Pelan Pembangunan ECER, yang akan terus merancakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah tersebut.
Dalam mesyuarat itu juga, Perdana Menteri menekankan keperluan meletakkan kepentingan jangka panjang negara dalam menarik pelaburan, termasuk mempertingkatkan peratusan peralihan teknologi dan pembangunan kemahiran tempatan.
“ECERDC perlu terus bergerak secara efisien dan proaktif agar Wilayah Pantai Timur kekal sebagai destinasi pelaburan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








