BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran-Israel: Kemudahan ketenteraan di Tabriz jadi sasaran

TABRIZ – Beberapa kemudahan strategik Iran di sekitar Tabriz menjadi sasaran serangan udara Israel ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak.

Menurut kenyataan Tentera Pertahanan Israel (IDF), operasi itu menyasarkan depot senjata dan fasiliti pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dipercayai menjadi pusat operasi serangan Iran ke atas wilayah Israel.

“Serangan itu melibatkan pesawat pejuang jarak jauh merupakan sebahagian daripada kempen ketenteraan rentas sempadan yang semakin agresif.

“Serangan ini adalag langkah defensif berterusan bagi menghalang keupayaan serangan jarak jauh Iran,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan serangan itu, Iran melancarkan lebih 40 dron ke beberapa lokasi di Israel.

Beberapa kawasan utara Israel dilaporkan mengalami kerosakan kecil apabila majoriti dron berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara negara itu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Iran, lebih 400 maut, manakala 3,000 lagi cedera sejak konflik bermula pada 13 Jun lalu.

Beberapa bandar utama Israel termasuk Tel Aviv dan Haifa terjejas dalam siri serangan balas Iran, namun jumlah sebenar korban masih belum didedahkan pihak berkuasa.

Penganalisis antarabangsa memberi amaran konflik berpanjangan itu berisiko mencetuskan ketidakstabilan serantau jika kuasa luar seperti Amerika Syarikat atau Rusia mula terlibat secara langsung.

“Sekiranya tiada penyelesaian diplomatik dalam masa terdekat, risiko konflik ini merebak ke seluruh rantau adalah sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian mempercepatkan rundingan nuklear bersama kuasa-kuasa Eropah bagi meredakan ketegangan.

Konflik kini memasuki hari kesembilan tanpa sebarang tanda gencatan senjata atau rundingan damai antara kedua-dua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button