Kunjungan hormat delegasi Timor-Leste perkukuh kerjasama dua hala Jabatan Imigresen Malaysia
PUTRAJAYA – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste terus diperkukuh menerusi lawatan hormat delegasi negara itu ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini semalam.
Kunjungan itu dilakukan dalam usaha mempererat kerjasama strategik khususnya dalam bidang keimigresenan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Delegasi Timor-Leste diketuai oleh Timbalan Menteri Keadilan merangkap Timbalan Menteri bagi Pengukuhan Institusi, Dr. Paulo Remedios.
Kehadiran mereka disambut oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Ayub Abd Rahman yang mewakili kepimpinan tertinggi di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
“Kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang keimigresenan antara Malaysia dan Timor-Leste khususnya dari segi pemerkasaan institusi, ketelusan dasar serta peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
“Rombongan turut meninjau operasi kaunter pasport dan menerima taklimat daripada Bahagian Keselamatan dan Pasport mengenai sistem serta proses pengurusan pasport yang dilaksanakan oleh JIM,” kata JIM melalui satu hantaran di Facebook.
Delegasi Timor-Leste yang turut serta dalam lawatan ini termasuklah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pendaftaran dan Notari dari daerah Manatuto dan Baucau, Aida Maria Soares da Silva dan Justina Das Neves Mendonca.
Turut hadir Ketua Staf Timbalan Menteri, Penasihat Perundangan dan Atase Imigresen dari Kedutaan Timor-Leste di Kuala Lumpur.
Sementara itu, pihak JIM turut diwakili Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Norlizawaty Abdul Samad dan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport, Mohd Russaini Idrus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















