BERITA SEMASA

Natxo, Feroz cedera dilepaskan dari kem latihan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR – Dua pemain tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan Feroz Baharudin telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Kuala Terengganu ketika ini berikutan masalah kecederaan hamstring.

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, laporan oleh doktor dan fisioterapis pasukan mendapati Natxo tidak bersedia untuk beraksi pada kedua-dua perlawanan menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea, Selasa ini.

“Sementara Feroz diturunkan dalam kesebelasan utama pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu tetapi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-44 kerana mengalami kecederaan hamstring.

“Sudah tentu sebagai jurulatih, saya sedikit terkilan kerana tidak dapat menguji sepenuhnya kedua-dua pemain tersebut pada jendela hari perlawanan FIFA kali ini tetapi pada masa yang sama berasa sedih atas kecederaan dialami oleh Natxo dan Feroz,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, dengan ketiadaan Natxo dan Feroz, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 24 pemain lain termasuk Shahrel Fikri Md Fauzi dan Nooa Laine bagi menghadapi Papua New Guinea Selasa ini.

*Pada kesempatan ini, saya juga ingin menjunjung kasih kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor selaku pemilik JDT atas kesediaan dan keprihatinan baginda untuk skuad Harimau Malaya menggunakan khidmat para pemain dari kelab tersebut.

“Sepertimana yang diketahui umum, separuh daripada skuad Harimau Malaya ini dibarisi oleh pemain dari JDT dan sudah tentu, dengan sokongan dan bantuan Tunku Ismail, kami di barisan kejurulatihan Harimau Malaya dapat membentuk gandingan dan gabungan skuad yang mantap bersama pemain-pemain dari kelab lain yang dipanggil kali ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button