BERITA SEMASABISNES & EKONOMIPMX

Ekonomi Islam tidak boleh hanya bebas riba, perlu berteraskan ihsan – PM

KUALA LUMPUR – Sistem kewangan Islam tidak boleh sekadar bebas daripada unsur riba semata-mata, sebaliknya mesti tampil sebagai satu alternatif menyeluruh kepada sistem konvensional yang sarat dengan ketidakadilan sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem ekonomi Islam perlu dibangunkan berasaskan nilai manusiawi, keadilan serta ihsan agar mampu menangani isu jurang pendapatan dan kemiskinan tegar.

“Ekonomi Islam tidak boleh berhenti setakat menawarkan pembiayaan bebas riba. Ia harus lebih daripada itu.

“Ekonomi Islam mesti tampil sebagai alternatif tuntas kepada sistem konvensional, dengan berteraskan nilai manusiawi, keadilan dan ihsan,” katanya.

Baca juga : Malaysia kekal peneraju kewangan Islam dunia

Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas melancarkan Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, nilai ihsan hanya akan terserlah apabila negara-negara Islam benar-benar komited terhadap reformasi institusi dan kemajuan rakyat secara menyeluruh.

Beliau menekankan Kerangka Ekonomi MADANI adalah manifestasi kepada nilai-nilai tersebut, yang bertujuan untuk mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Kesenjangan antara kaya dan miskin, masalah kemiskinan tegar dan isu keadilan sosial hanya boleh ditangani sekiranya sistem ekonomi dibina atas asas tatakelola yang baik serta dasar yang jelas dan progresif,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menzahirkan keyakinan terhadap komitmen berterusan bagi reformasi dan nilai-nilai murni, ekonomi Islam mampu menjadi alternatif global yang berdaya saing.

“Untuk muncul sebagai alternatif yang benar-benar berdaya saing, sistem ekonomi Islam harus tampil bukan sekadar berbeza, bahkan lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button