BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bapa tinggalkan mahkamah, enggan jamin anak mengaku rogol

BATU PAHAT – Seorang bapa enggan membayar wang ikat jamin RM1,500 terhadap anak lelakinya yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang kenalan perempuan berusia 15 tahun, awal bulan ini.

Menurut laporan Buletin TV3, tindakan lelaki berusia 40-an itu dibuat sebagai pengajaran terhadap anak sulungnya yang berumur 16 tahun, selepas membuat pengakuan di Mahkamah Majistret Batu Pahat di hadapan Majistret Arun Noval Dass, di sini, hari ini.

Difahamkan, bapa tertuduh yang hadir menemani anaknya sepanjang prosiding, kemudiannya dilihat beredar meninggalkan mahkamah tanpa membayar wang jaminan yang ditetapkan pihak mahkamah.

Mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah rumah dalam daerah ini antara pukul 4 petang hingga 5.30 petang pada 2 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat bapa tertuduh, insiden itu terbongkar selepas ibu remaja tersebut yang bekerja telah pulang lebih awal daripada kebiasaannya dan menemui selipar seorang perempuan di luar rumah.

Curiga dengan keadaan itu, wanita berusia 41 tahun itu mengetuk pintu beberapa kali sebelum dibuka oleh anaknya, lalu mendapati seorang remaja perempuan berada di dalam rumah.

Hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua tertuduh dan mangsa mengaku telah melakukan hubungan seks sebanyak 16 hingga 18 kali sebelum kejadian terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yang daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan 16 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pembentangan fakta kes serta laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button