Kemalangan bas UPSI: Bomba guna mesin hidrolik selamatkan mangsa
GERIK – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menggunakan peralatan hidraulik khas untuk memotong bahagian belakang bas bagi mengeluarkan mangsa-mangsa kemalangan bas sewa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di laluan Gerik-Jeli dekat Tasik Banding, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi JBPM Perak, keadaan bas yang terbalik menyukarkan usaha menyelamat dilakukan.
Katanya, dua mangsa yang parah dan empat yang maut berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak kakitangan perubatan dan polis.
“Terdapat mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dengan keluar sendiri, ada yang tercampak keluar dari bas dan sebahagiannya terperangkap dalam kenderaan yang terbalik,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian itu, sebuah bas yang membawa 36 pelajar UPSI dilaporkan terbabas dan mengorbankan 15 pelajar.
Menurut JBPM, kemalangan melibatkan bas yang dalam perjalanan pulang dari program khidmat masyarakat di Kelantan itu berlaku pada pukul 3.40 pagi.
Manakala sebuah kereta Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan itu terbabas di dalam parit.
“Setakat ini, seramai 13 mangsa dari bas telah disahkan meninggal dunia dan 31 cedera, manakala tiga mangsa dari Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan seorang mengalami patah tangan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan pelbagai tahap kini dirawat di Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Operasi menyelamat tersebut membabitkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Jeli, selain anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








