Misi bantuan kemanusian ATM tinggalkan kesan mendalam di Myanmar
PM Myanmar lawat Hospital Medan Malaysia, simbol penghormatan terhadap usaha negara dalam krisis pasca-bencana
SHAH ALAM – Kehadiran Pasukan Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Myanmar menerusi Operasi Starlight III susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada 28 Mac lalu, disambut baik oleh rakyat serta kerajaan negara berkenaan.
Pakar Bedah Am Hospital Medan Malaysia (HMM), Mejar Dr Aminur Rashid Yunus, 39, berkata sambutan yang diterima sangat mengharukan, sekali gus membuktikan kepentingan bantuan kemanusiaan yang diberikan oleh Malaysia.
“Kehadiran kami amat dialu-alukan oleh masyarakat Myanmar kerana rawatan pembedahan bukan sahaja mahal, malah banyak hospital tempatan turut terjejas akibat bencana.
“Di hospital medan kami, terdapat dua bilik pembedahan yang beroperasi secara bergilir, berbanding hanya satu bilik kecemasan di Hospital Sagaing yang ketika ini terbeban dengan jumlah pesakit yang tinggi.
“Malah, Perdana Menteri Myanmar sendiri hadir menziarahi kami sebagai tanda penghargaan terhadap usaha ini,” katanya ketika ditemui sejurus ketibaan pasukan itu di Pangkalan Udara Subang, malam tadi.
Baca juga : Op Starlight III: ATM rawat 3,562 pesakit di Myanmar

Terdahulu, pasukan yang terdiri daripada 69 anggota termasuk 16 pegawai dan 53 anggota lain-lain pangkat itu tiba kira-kira jam 8.30 malam tadi menaiki dua pesawat Airbus A400M TUDM dan disambut Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman.
Sepanjang Operasi Starlight III, sebanyak 3,562 pesakit berjaya dirawat, manakala 493 prosedur pembedahan berjaya dilaksanakan.

Tambah Dr Aminur, penghargaan yang ditunjukkan oleh rakyat tempatan amat menyentuh hati, termasuk ada dalam kalangan pesakit yang sanggup meredah perjalanan selama dua hari menaiki bot demi mendapatkan rawatan.
“Ada pesakit yang tiba dalam keadaan kaki sudah teruk dijangkiti dan perlu dipotong. Mereka datang jauh dari kawasan pedalaman semata-mata untuk rawatan.
“Malah ada yang sujud di depan kami betapa mereka sangat menghargai bantuan ini, sesuatu yang sukar untuk dilupakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Aminur berkata, antara kes yang dirawat termasuk kecederaan akibat gempa bumi dan letupan, jangkitan serius, kanser, masalah tiroid serta pembedahan rekonstruktif bibir sumbing yang dikendalikan oleh pakar bedah plastik ATM.
Katanya, pasukan turut menerima kes kompleks membabitkan kegagalan hati dan jantung.
“Sepanjang operasi, tiada kematian direkodkan dan hanya satu kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Lebih membanggakan, tiada jangkitan selepas pembedahan (zero postoperative infection) dilaporkan, satu pencapaian luar biasa bagi sebuah hospital medan dalam persekitaran yang serba kekurangan,” katanya.
Sebagai rekod, Operasi Starlight III merupakan kesinambungan komitmen Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan antarabangsa serta memperkukuhkan hubungan dua hala bersama Myanmar atas dasar kemanusiaan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








