Bau busuk bongkar penemuan mayat warga emas dalam pangsapuri
PAPAR– Misteri bau busuk yang menyelubungi sebuah unit pangsapuri di Melinsung Summer Bay di sini, terungkai apabila mayat seorang lelaki warga emas ditemui dalam kediaman tersebut kelmarin.
Mangsa yang berusia 68 tahun ditemui dalam keadaan tidak bernyawa oleh pihak berkuasa pada pukul 9.10 malam, selepas pintu kediaman berjaya dibuka menggunakan peralatan khas oleh anggota bomba.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang curiga dengan bau busuk dari rumah mangsa dan mengesyaki sesuatu yang mencurigakan telah berlaku.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pintu rumah didapati berkunci dari dalam dan pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi membukanya.
“Setelah pintu dibuka, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di salah sebuah bilik,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian dan tiada unsur jenayah mahupun perbuatan khianat dikesan pada tubuh mangsa.
Mayat telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Papar untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








