Aidiladha: Bekalan lembu mencukupi
KOTA BHARU – Bekalan lembu bagi sambutan Aidiladha nanti dijamin mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ini sekali gus membolehkan umat Islam melaksanakan ibadah korban sebagaimana yang dituntut oleh agama.
“Setakat ini bekalan lembu berada dalam keadaan cukup, hasil tinjauan yang dilakukan oleh pihak kementerian,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (TRC) Tunjong, di sini hari ini.
Ketika ini kebanyakan ternakan adalah dari luar iaitu Myanmar dan Thailand, dan kebiasaan harga ternakan itu tidak menentu dan bergantung mengikut jumlah bekalan.
Bagaimanapun, Mohamad memberitahu, harga ternakan masih lagi stabil dan tidak melambung tinggi.
“Kos untuk bawa dari sana itu yang menjadikan harga agak tinggi dan ia disebabkan oleh kos pengangkutan serta kurantin,” tambah beliau.
Ahli Parlimen Kota Raja itu kemudiannya berkata, kerajaan turut memberi jaminan bekalan bahan mentah lain mencukupi sepanjang perayaan Aidiladha nanti.
Sehubungan itu, rakyat diingatkan supaya tidak membuat pembelian panik menjelang sambutan tersebut.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu, kerajaan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk menyediakan bilik sejuk beku di RTC Tunjong dalam usaha mengukuhkan bekalan makanan negara.
“Bilik sejuk itu secara tidak langsung dapat ‘menyelamatkan’ stok makanan apabila berlaku lambakan hasil.
“Sebanyak RM200,000 turut diberikan bagi menaik taraf medan pemborongan kuih tradisional yang terdapat di sini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








