ASEAN 2045: Ke arah rantau lebih inklusif dan berdaya saing
RANTAU Asia Tenggara kini bersiap sedia menempuh dua dekad mendatang dengan penuh tekad melalui pelancaran ASEAN Community Vision (ACV) 2045: Our Shared Future iaitu dokumen strategik jangka panjang yang diumum secara rasmi dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur, semalam.
Berdasarkan risalah Soalan Kerap Ditanya (FAQ) ASEAN 2045 yang akan menggantikan ASEAN 2025: Forging Ahead Together, ia menerangkan bagaimana penganjuran acara itu bakal memberi manfaat kepada seluruh negara anggotanya.

Rangka strategik masa depan
Visi ASEAN 2045 secara dasarnya disusun berasaskan enam dokumen utama termasuk pelan strategik untuk bidang politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan serantau.
Setiap bidang ini menetapkan matlamat strategik yang diperincikan melalui ratusan langkah tindakan khusus bagi memastikan pembangunan mampan dan bersifat menyeluruh.
Menurut kenyataan rasmi, ASEAN 2045 adalah pelan yang bukan sahaja melakar hala tuju serantau, tetapi juga sebagai komitmen kolektif ke arah memperkukuhkan peranan ASEAN di arena global namun masih mengekalkan prinsip ASEAN Centrality.

Lima fokus teras ASEAN 2045
Dokumen visi ini menekankan lima elemen utama:
1. Rantau Tangkas dan Berdaya Saing
Melalui visi ini, ia bakal memperkukuh kemampuan ASEAN untuk bertindak pantas dalam menghadapi krisis dan perubahan mendadak seperti wabak penyakit, bencana alam dan ketegangan geopolitik.
2. Komuniti Inklusif dan Rakyat Berdaya Saing
Visi ini memberi tumpuan kepada pendidikan, kemahiran, kesihatan serta penglibatan aktif rakyat termasuk belia dan wanita dalam pembinaan komuniti ASEAN.
3. Keamanan, Keselamatan dan Neutraliti Serantau
Ia bertujuan memastikan Asia Tenggara terus menjadi zon aman, bebas daripada senjata nuklear serta mengukuhkan kerjasama keselamatan berasaskan undang-undang antarabangsa.
4. Kelestarian untuk Generasi Akan Datang
Ia menekankan pemuliharaan alam sekitar, ekonomi hijau dan biru serta penyelesaian terhadap isu perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.
5. ASEAN sebagai Pemain Global Berpengaruh
Visi terakhirnya pula adalah untuk menjadikan ASEAN suara kolektif yang signifikan dalam hal ehwal dunia, terutama dalam tadbir urus ekonomi, perdagangan, teknologi dan isu kemanusiaan.
Reformasi institusi dan keterhubungan serantau
Antara elemen penting dalam dokumen tersebut ialah komitmen terhadap reformasi institusi ASEAN, termasuk pengukuhan peranan Sekretariat ASEAN, peningkatan koordinasi antara badan sektor dan rakan kongsi serantau serta penambahbaikan dalam kecekapan pelaksanaan dasar.
Rangka kerja keterhubungan pula memberi penekanan kepada infrastruktur fizikal dan digital, mobiliti rakyat, integrasi sistem pembayaran serta pembangunan bandar pintar dan mampan bagi menangani pertumbuhan bandar yang pesat.
Cabaran, peluang masa depan
ASEAN turut mengenal pasti pelbagai cabaran mendatang termasuk ketegangan geopolitik di Indo-Pasifik, perlumbaan teknologi kecerdasan buatan, keselamatan siber, ketidakstabilan rantaian bekalan, perubahan iklim serta jurang pembangunan antara negara anggota.
Bagaimanapun, cabaran ini juga hadir dengan peluang.
ASEAN menyasarkan untuk muncul sebagai ekonomi keempat terbesar dunia dengan ekosistem digital yang selamat dan terbuka serta menjadi hab inovasi, pembuatan dan ekonomi kreatif di rantau ini.
Manfaat untuk rakyat dan rakan kongsi
Bagi lebih 680 juta penduduk ASEAN, visi berkenaan bermakna peluang pekerjaan lebih luas, kemudahan pergerakan dalam rantau, perlindungan sosial yang lebih kukuh, kesihatan yang lebih baik serta suara rakyat yang lebih didengari dalam proses pembangunan.
Manakala bagi rakan kongsi luar, ASEAN 2045 membuka ruang kerjasama dalam bidang keselamatan, perdagangan, iklim, pendidikan serta pembinaan kapasiti bersama sebuah komuniti yang semakin berdaya tahan dan relevan secara global.
Harapan dan tindakan

Melalui Deklarasi Kuala Lumpur 2025, para pemimpin ASEAN sebulat suara berikrar untuk melaksanakan Visi Komuniti ASEAN 2045 dengan penuh iltizam.
Komitmen itu termasuk memantau pelaksanaannya secara tahunan dan melibatkan pelbagai pemegang taruh dalam menjayakan agenda transformasi ini.
Dengan semangat kolektif, ASEAN kini berdiri teguh di ambang masa depan yang lebih cerah, bukan sekadar sebagai rantau yang bersatu, tetapi sebagai pusat pertumbuhan dan kesejahteraan untuk seluruh dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








