BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes rasuah Ismail Sabri: SPRM akan rakam keterangan Jovian Mandagie

PUTRAJAYA – Pereka fesyen terkenal yang merupakan bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jovian Mandagie akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Ke-9 itu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri menamakan Jovian sebagai saksi ketika keterangannya direkod sebelum ini bagi mengesahkan aset yang diisytiharkan beliau.

Azam bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

“Saya dimaklumkan Jovian kini berada di Indonesia dan telah menetap di sana.

“Jadi, kita tidak boleh memaksa beliau (Jovian) datang ke sini, sebaliknya SPRM akan pergi ke sana bertemu dengannya dalam tempoh seminggu dua ini.

“Saya sudah meminta Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainal Darus untuk mempercepatkan proses ambil keterangan itu dan segerakan siasatan,” kata Azam pada sidang media di Ibu Pejabat, SPRM di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri telah membuat pengisytiharan harta dan pihaknya sedang menganalisa sumber-sumber dan aset berkenaan.

Tambah beliau, SPRM menjangkakan siasatan terhadap Ismail Sabri akan selesai pada bulan Jun depan.

Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Bera itu disiasat antara lain membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button