Warisan ulang pendirian bertanding solo PRN Sabah, tolak gabungan politik
Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr, nafi dakwaan penyertaan dalam mana-mana pakatan
KOTA KINABALU — Parti Warisan sekali lagi menegaskan akan bertanding secara solo menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, sekali gus menepis dakwaan yang mengatakan mereka akan menyertai mana-mana gabungan politik.
Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua Jr menafikan khabar angin yang mengaitkan parti itu dengan penyertaan ke dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau sebarang rundingan politik di belakang tabir.
“Itu semua adalah pembohongan yang sengaja disebarkan di media sosial untuk mengelirukan rakyat,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini dilaporkan berkata, walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan Warisan bergabung dengan parti lain, pihaknya lebih selesa bertanding sendiri.
Baca juga : Warisan pilih bertanding solo pada PRN-17 Sabah
Loretto berkata, pendirian Warisan kekal sejak awal, iaitu gabungan parti itu hanyalah bersama rakyat Sabah dan bukan mana-mana gabungan elit politik.
“Kami tidak akan terlibat dalam permainan politik yang sedang berlaku. Perjuangan kami adalah demi hak dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, Loretto turut melahirkan rasa kesal apabila institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah turut dikaitkan dalam spekulasi politik yang berlegar di media sosial kebelakangan ini.
“TYT adalah institusi yang bebas daripada politik dan mesti dihormati. Jangan sesekali menjadikan TYT sebagai alat untuk meraih keuntungan politik,” ujarnya.
Tambah beliau, penyebaran cerita sebegini dilihat sebagai usaha terancang untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu besar yang sedang membelenggu negeri.
Jelas beliau, isu tersebut termasuk kenaikan kos sara hidup, masalah bekalan air dan elektrik serta peluang pekerjaan yang semakin meruncing.
“Warisan l menyeru rakyat Sabah agar kekal fokus menjelang pilihan raya akan datang, dengan memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib rakyat.
“Pilihan raya kali ini adalah tentang memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang untuk Sabah dan bukan mereka yang hanya pandai bermain politik,” katanya.
Sementara itu, sebagai satu-satunya parti pembangkang utama di Sabah ketika ini, Loretto menegaskan masa depan Sabah memerlukan satu gerakan yang tegas, berani dan berteraskan rakyat.
“Gabungan bukan jawapannya. Kami akan terus bersama rakyat dan bukan bersama elit politik,” tegas Loretto lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













