Politik

“Dia gunakan harta itu untuk mengkhianati UMNO” – Dr Mohd Zaidi kepada Noh Omar

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain membidas sikap bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang dikatakan telah mengkhianati parti tersebut.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor itu, Noh tidak sepatutnya terus menyerang parti berkenaan selepas menikmati pelbagai bentuk manfaat dari UMNO sejak 30 tahun.

“Pendirian kami di Selangor.. biarlah Tan Sri Noh nak kata apa, katalah. Sebab dia sakit hati dengan UMNO. Dia sakit hati sebab dia tak dapat jadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan perkara ini tak perlu dijawab.

“UMNO sudah beri peluang Tan Sri Noh enam penggal. Berapa tahun? 30 tahun. Kalau diikutkan usia pemuda saya masa itu. Ada pemuda sekarang yang masih tadika dia sudah jadi wakil rakyat. Sampai masuk usia pemuda, dia jadi wakil rakyat lagi. (Sudah) 30 tahun, apa lagi nikmat mahu didustakan,”

“Kita sokong dia untuk naikkan sebagai wakil rakyat. Sebagai pemimpin UMNO yang duduk atas pentas ini. Sekarang selepas menikmati segala-galanya, dia gunakan harta itu untuk mengkhianati UMNO dan perjuangan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai pencadang usul Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Terdahulu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang menyifatkan usaha beliau selama 30 tahun memimpin Tanjong Karang telah disia-siakan selepas dilabel sebagai pengkhianat.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada ceramah PN siri Jelajah Selangor Baharu yang diadakan di Tanjong Karang pada Isnin lalu.

Pada 27 Januari lalu, media melaporkan Noh dengan sendiri telah meminta untuk dipecat dari UMNO selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button