MH17: Kementerian Pengangkutan akan keluar kenyataan susulan keputusan ICAO – Fahmi
PUTRJAYA – Kementerian Pengangkutan sedang bekerjasama rapat dengan Wisma Putra susulan keputusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memutuskan Russia bertanggungjawab atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, kenyataan berhubung perkara berkenaan dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Jemaah Menteri sudah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak ICAO yang mana ia adalah berkenaan dengan penembakan pesawat MH 17 pada Julai 2014.
“Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) memaklumkan bahawa satu kenyataan media akan diterbitkan oleh MOT sebagai maklum balas kepada kenyataan daripada ICAO dan kita boleh jangkakan dalam masa terdekat, ada sedikit koordinasi dengan Wisma Putra,” katanya.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Kelmarin, ICAO memutuskan Russia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh sebuah pesawat penerbangan Malaysia di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, menurut kenyataan kerajaan Belanda.
ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai 193 negara anggota.
Dalam kenyataan itu, kerajaan Belanda berkata, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.
Pada 17 Julai 2014, penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur dan ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Russia dan tentera Ukraine.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















