BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Inspektor polis didakwa terima rasuah RM23,000 berkait kes dadah

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000 berhubung satu kes dadah yang dikendalikannya empat tahun lalu.

Tertuduh, Khairul Faiz Mohamad Zaini, 37, yang kini bertugas di Kedah, didakwa menerima suapan berjumlah RM15,000 dan RM8,000 daripada seorang individu menerusi pindahan wang ke akaun pihak ketiga sebelum dipindahkan ke akaun bank milik isterinya.

Suapan itu didakwa sebagai balasan untuk melepaskan tiga individu yang ditahan dan membuang dadah jenis syabu daripada laporan polis berkaitan serbuan dan tangkapan yang dikendalikannya.

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 26 Februari 2021.

Pendakwaan terhadap Khairul Faiz dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee memohon agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin atas faktor lokasi tempat kerjanya yang berhampiran sempadan Thailand, yang menimbulkan kebimbangan beliau mungkin melarikan diri.

Namun, Khairul Faiz yang tidak diwakili peguam, merayu agar jumlah jaminan direndahkan atas alasan beliau dan isterinya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sejak ditahan pada Julai tahun lalu.

Dia juga memaklumkan bahawa dirinya melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan, mempunyai komitmen hutang yang tinggi dan isterinya tidak bekerja.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button