BERITA SEMASA

Kerjasama kukuh kerajaan, swasta hidupkan semula projek Residensi Kecapi

KUALA LUMPUR – Kerjasama kukuh antara kerajaan dan syarikat swasta akhirnya berjaya memberi nafas baharu kepada projek Residensi Kecapi di Sentul yang terbengkalai selama 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, kejayaan ini satu bukti komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada komuniti bandar terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ia juga selari inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) yang bertujuan membasmi kemiskinan bandar.

“Pelancaran hari ini mencerminkan iltizam dan kejujuran dalam pelaksanaan projek ini, yang membolehkan kawasan yang sekian lama terbiar dipulihkan menjadi persekitaran yang lebih bermaruah,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis pelancaran projek tersebut, hari ini.

Projek Residensi Kecapi membabitkan 250 unit kediaman dengan setiap satunya berkeluasan lebih 60 meter persegi serta dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Daripada keseluruhan 250 unit, lebih 130 unit disediakan khusus untuk pemilik asal di kawasan yang dibangunkan.

Harga seunit kediaman Residensi Kecapi adalah sekitar RM42,000.00.

“Apa yang lebih saya hargai adalah komitmen untuk memastikan proses pengesahan dilakukan secara menyeluruh dan telus, melibatkan pasukan audit khas daripada Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan pihak pemaju iaitu Sentul Raya Sdn. Bhd. sendiri yang turun padang bagi memastikan hak waris dan pemilik asal kawasan ini tidak terabai.

“Inilah contoh tata kelola yang adil dan manusiawi, yang harus menjadi teras kepada setiap pembangunan semula bandar agar rakyat tidak menjadi mangsa kepada proses pembangunan itu sendiri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button